Pengenalan Sistem Tribunal Pengurusan Strata (eTPS)
Pengenalan kepada Sistem Tribunal Pengurusan Strata (eTPS)
Mengenai Kami
Tribunal Pengurusan Strata
TPS ditubuhkan di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757] yang telah diluluskan dan diwartakan pada 8 Februari 2013. Akta 757 mula berkuatkuasa pada 1 Jun 2015. TPS telah mula beroperasi pada 1 Julai 2015 dan dikawalselia oleh Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Tribunal Pengurusan Strata) 2015.
Objektif
Tribunal yang mendengar dan mengendali tuntutan pengurusan strata secara mudah, murah dan cepat.
Soalan Lazim
-
1: Apakah bidang kuasa TPS? (Seksyen 105 Akta 757)
TPS mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan menentukan tuntutan yang dinyatakan dalam Bahagian I Jadual Keempat dalam Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757]. Bahagian 1 Jadual Keempat adalah seperti berikut:
- Suatu pertikaian atau aduan berkenaan dengan suatu penjalanan atau pelaksanaan, atau kegagalan untuk menjalankan atau melaksanakan, suatu fungsi, kewajipan atau kuasa yang diberikan atau dikenakan oleh Akta ini atau perundangan subsidiari yang dibuat di bawah Akta ini, kecuali bagi yang diperuntukkan secara khusus dalam Bahagian ini.
- Tertakluk kepada subseksyen 16N(2) Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118], suatu pertikaian mengenai kos atau pembaikan berkenaan dengan suatu kecacatan dalam suatu petak, bangunan atau tanah yang dicadangkan untuk dipecah bahagi kepada petak-petak, atau bangunan atau tanah yang dipecah bahagi, dan harta bersama atau harta bersama terhadnya.
- Suatu tuntutan bagi mendapatkan Caj, atau caruman kepada kumpulan wang penjelas, atau apa-apa jumlah yang diisytiharkan oleh peruntukan Akta ini sebagai suatu hutang.
- Suatu tuntutan bagi suatu perintah untuk mengadakan suatu mesyuarat agung.
- Suatu tuntutan bagi suatu perintah untuk membatalkan prosiding mesyuarat jika mana-mana peruntukan Akta telah dilanggari.
- Suatu tuntutan bagi suatu perintah untuk menidaksahkan suatu ketetapan jika hak mengundi telah dinafikan atau jika notis yang sewajarnya telah tidak diberi.
- Suatu tuntutan bagi suatu perintah untuk menidaksahkan suatu ketetapan yang diluluskan dalam suatu mesyuarat agung.
- Suatu tuntutan bagi suatu perintah untuk membatalkan pindaan undang-undang kecil dengan mengambil kira kepentingan semua pemunya petak atau pemilik.
- Suatu tuntutan bagi suatu perintah untuk mengubah kadar bunga yang ditetapkan oleh badan pengurusan bersama, perbadanan pengurusan atau perbadanan pengurusan subsidiari bagi pembayaran lewat Caj, atau caruman kepada kumpulan wang penjelas.
- Suatu tuntutan bagi suatu perintah untuk mengubah jumlah insurans yang disediakan.
- Suatu tuntutan bagi suatu perintah untuk meneruskan suatu tuntutan insurans.
- Suatu tuntutan bagi memaksa pemaju, badan pengurusan bersama, perbadanan pengurusan atau perbadanan pengurusan subsidiari untuk memberikan maklumat atau dokumen.
- Suatu tuntutan bagi suatu perintah untuk memberikan persetujuan bagi melakukan perubahan kepada mana-mana harta bersama atau harta bersama terhad.
- Suatu tuntutan bagi suatu perintah untuk mengesahkan, mengubah atau membatalkan keputusan Pesuruhjaya.
Selain daripada tuntutan yang dinyatakan dalam Jadual Keempat, TPS juga mempunyai bidangkuasa untuk mendengar tuntutan bagi mendapatkan (Seksyen 32(7) dan Seksyen 71(5) Akta 757):
- Perintah untuk menguatkuasakan pelaksanaan mana-mana undang-undang kecil;
- Perintah untuk mencegah pelanggaran mana-mana undang-undang kecil; dan
- Gantirugi bagi apa-apa kerugian atau kecederaan kepada mana-mana orang atau harta yang timbul daripada pelanggaran mana-mana undang-undang kecil.
-
2: Bolehkah isu yang sama difailkan di TPS dan di Mahkamah Sivil? (Seksyen 106(1) Akta 757)
Tidak boleh kerana hanya satu forum yang boleh mendengar dan memutuskan kes pada satu-satu masa.
-
3: Bolehkah suatu tuntutan difailkan di TPS jika tuntutan bagi isu yang sama telah didengar / dibicarakan dan diputuskan oleh Mahkamah Sivil? (Seksyen 106(2) Akta 757)
Tidak boleh.
-
4: Bolehkah suatu tuntutan yang telah dibuat keputusan oleh TPS difailkan semula di TPS atas isu yang sama?
Tidak boleh.
-
5: Berapakah had maksimum nilai tuntutan di TPS? (Seksyen 105(1) Akta 757)
Jumlah maksimum yang boleh dituntut ialah RM 250,000.00.
-
6: Apakah tempoh masa untuk memfailkan tuntutan di TPS? (Seksyen 105(2) Akta 757)
Tiada had masa untuk memfailkan tuntutan di TPS.
-
7: Adakah TPS mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan siasatan dan mengenakan hukuman bagi kesalahan jenayah kerana tidak mematuhi award yang dikeluarkan oleh TPS di bawah Akta 757? (Seksyen 125 Akta 757)
Tidak. Sebarang siasatan bagi kesalahan jenayah tidak mematuhi award adalah di bawah bidang kuasa Pesuruhjaya Bangunan (Commissioner of Building (COB)) dan jika terdapat sebarang pendakwaan berkenaan kesalahan jenayah, hanya Mahkamah Jenayah sahaja yang mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan dan mengenakan hukuman.
-
8: Siapakah yang boleh memfailkan tuntutan di TPS? (Seksyen 107 Akta 757)
- Pemaju
- Pembeli
- Pemilik (termasuk pemilik asal)
- Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body (JMB))
- Perbadanan Pengurusan (Management Corporation (MC))
- Perbadanan Pengurusan Subsidiari (Subsidiary Management Corporation (Sub-MC))
- Ejen Pengurusan (yang dilantik oleh COB)
- Mana-mana orang berkepentingan yang lain dengan kebenaran TPS (contohnya penyewa dan pihak yang terkesan, tertakluk kepada kebenaran Tribunal).
-
9: Apakah prosedur untuk orang berkepentingan yang lain untuk memfailkan tuntutan di TPS?
Mana-mana orang berkepentingan tersebut hendaklah mengisi Borang Permohonan Kebenaran Memfailkan Tuntutan di TPS terlebih dahulu dan mengemukakan borang yang telah dilengkapkan kepada TPS. Borang tersebut perlu dipohon melalui e-mel ke tribunal@kpkt.gov.my
Pihak TPS akan menentukan sama ada permohonan tersebut dibenarkan atau tidak. Orang berkepentingan tersebut hanya boleh memfailkan tuntutan di TPS selepas memperoleh kebenaran tersebut.
Selepas itu, kebenaran tersebut hendaklah dikepilkan bersama Borang 1 semasa pemfailan tuntutan.
-
10: Apakah jenis borang yang diguna pakai di TPS?
- Borang Butiran TPS
- Borang items Tuntutan Teknikal TPS
- Borang 1 – Pernyataan Tuntutan
- Borang 2 – Pernyataan Pembelaan dan Tuntutan Balas
- Borang 3 – Pembelaan Kepada Tuntutan Balas
- Borang 4 – Notis Pendengaran
- Borang 5 – Notis Rundingan
- Borang 6 – Award dengan Persetujuan
- Borang 7 – Award Bagi Pihak Yang Menuntut jika Penentang Tidak Memfailkan Pernyataan Pembelaan
- Borang 8 – Award Jika Penentang Mengakui Tuntutan
- Borang 9 – Award Bagi Penentang Jika Pihak Yang Menuntut Tidak Hadir
- Borang 10 – Award Bagi Pihak Yang Menuntut Jika Penentang Tidak Hadir
- Borang 11 – Award Selepas Pendengaran
- Borang 12 – Notis Permohonan Saman Untuk Hadir
- Borang 13 – Saman Untuk Hadir
- Borang 14 – Notis Permohonan
- Borang 15 – Perintah Permohonan
- Borang 16 – Permohonan Untuk Mengenepikan Award
-
11: Apakah prosedur untuk memfailkan tuntutan di TPS?
A. PEMFAILAN SECARA DALAM TALIAN
- Proses pemfailan dan pembayaran boleh dibuat secara dalam talian melalui Sistem e-TPS
-
Sila rujuk:
- Manual Pengguna Sistem e-TPS [ Kemaskini 8 Julai 2025 ]
- Arahan kepada Pihak Yang Menuntut selepas pemfailan Pernyataan Tuntutan (Borang 1)
- Arahan kepada Pihak Penentang selepas pemfailan Pernyataan Pembelaan dan Tuntutan Balas (Borang 2)
- Arahan kepada Pihak Yang Menuntut selepas pemfailan Pembelaan kepada Tuntutan Balas (Borang 3)
- Arahan kepada Pihak Yang Menuntut / Pihak Penentang selepas pemfailan Permohonan Interlokutori (Borang 14)
- *Sila ambil maklum bahawa pemfailan Borang Permohonan Untuk Mengenepikan Award (Borang 16) tidak boleh dibuat melalui Sistem e-TPS dan hendaklah difailkan melalui kaunter atau pos (rujuk Soalan 28).
B. PEMFAILAN MELALUI KAUNTER ATAU POS
-
-
Borang 1 hendaklah diisi dan dilengkapkan dalam 4 salinan (salinan tambahan diperlukan sekiranya terdapat lebih daripada seorang penentang).
- Nama, nombor kad pengenalan / nombor syarikat / nombor pendaftaran, alamat surat menyurat, nombor telefon, nombor telefon bimbit dan nombor faks pihak yang menuntut dan pihak penentang hendaklah diisi dengan lengkap, jelas dan betul.
- Tuntutan dan butir-butir tuntutan hendaklah dinyatakan dalam Borang 1.
- Pihak – pihak boleh mengisi borang 1 dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.
- Keempat-empat salinan Borang 1 hendaklah ditandatangani atau dicap ibu jari oleh Pihak Yang Menuntut.
-
Borang Butiran TPS hendaklah diisi dan dilengkapkan dalam 2 salinan.
- Nama, alamat surat menyurat pihak yang menuntut dan pihak penentang serta alamat premis tuntutan, nombor telefon dan alamat e-mel pihak yang menuntut dan pihak penentang hendaklah diisi dengan lengkap, jelas dan betul.
-
Dokumen-dokumen sokongan berikut hendaklah disertakan dengan Borang 1 (jumlah salinan dokumen sokongan adalah sama dengan jumlah salinan Borang 1).
- Bagi tuntutan berkenaan kebocoran antara tingkat (interfloor leakage)
- Bagi tuntutan untuk mendapatkan caj penyenggaraan dan caruman kepada kumpulan wang penjelas
- Bagi tuntutan-tuntutan lain
-
Pihak Yang Menuntut hendaklah memfailkan 4 salinan Borang 1 (salinan tambahan diperlukan sekiranya terdapat lebih daripada seorang penentang) berserta Borang Butiran TPS dan dokumen sokongan melalui 2 kaedah:
- Pemfailan di Kaunter TPPS, KPKT bersama dengan fi pemfailan sebanyak RM100.00 (kediaman) atau RM 200.00 (komersial / industri) dalam bentuk wang tunai / bank draf / kiriman wang atas nama Akauntan Negara Malaysia-KPKT-T. Bayaran melalui cek peribadi tidak akan diterima.
- Pemfailan juga boleh dibuat dengan menghantar Borang 1 melalui Pos bersertakan dengan fi pemfailan RM100.00 (kediaman) atau RM 200.00 (komersial / industri) dalam bentuk bank draf / kiriman wang atas nama Akauntan Negara Malaysia-KPKT-T. Bayaran melalui cek peribadi tidak akan diterima.
- *AMBIL PERHATIAN bahawa TPS tidak menerima wang tunai melalui pos.
-
Borang 1 hendaklah diisi dan dilengkapkan dalam 4 salinan (salinan tambahan diperlukan sekiranya terdapat lebih daripada seorang penentang).
-
12: Apakah proses seterusnya apabila Borang 1 difailkan?
- TPS akan memeteraikan Borang 1 dengan dan akan meletakkan tarikh dan menandatangani Borang 1.
-
2 salinan Borang 1 yang telah dimeterai akan dipulangkan kepada Pihak Yang Menuntut.
- Satu salinan Borang 1 adalah salinan Pihak Yang Menuntut.
- Satu salinan Borang 1 untuk Pihak Yang Menuntut serahkan kepada Penentang.
- Notis Pendengaran (Borang 4) akan dikeluarkan kepada Pihak Yang Menuntut. Borang 4 tersebut akan menyatakan tarikh, masa dan tempat pendengaran.
-
13: Apakah kaedah penyerahan Borang 1 kepada Penentang?
Pihak Yang Menuntut perlu menyerahkan Borang 1 kepada Penentang dalam tempoh 14 hari dari tarikh Borang 1 termeterai dikeluarkan oleh TPS. Pihak Yang Menuntut boleh menyerahkan Borang 1 kepada Penentang melalui kaedah-kaedah berikut:
- Secara serahan tangan. Contoh bukti penyerahan bagi kaedah ini adalah salinan akuan penerimaan / tandatangan / cop penerimaan / gambar penyerahan dan tarikh penyerahan.
- Melalui pos berdaftar yang dialamatkan kepada alamat perniagaan, petak atau kediaman yang akhir diketahui bagi Penentang. Contoh bukti penyerahan bagi kaedah ini adalah bukti pengeposan.
- Melekatkan Borang 1 pada bahagian utama di alamat perniagaan, petak atau kediaman yang akhir diketahui bagi Penentang. Contoh bukti penyerahan bagi kaedah ini adalah gambar Borang 1 dilekatkan di premis tersebut dan tarikh penyerahan.
-
14: Apakah yang perlu dilakukan oleh Penentang apabila menerima Borang 1?
Dalam tempoh 14 hari dari tarikh Penentang menerima Borang 1, Penentang hendaklah memfailkan Pernyataan Pembelaan dan Tuntutan Balas (Borang 2) dalam 4 salinan di TPS. Pemfailan Borang 2 boleh dilakukan melalui 2 kaedah iaitu:
- Pemfailan di Kaunter TPPS, KPKT bersama dengan fi pemfailan sebanyak RM100.00 (kediaman) atau RM 200.00 (komersial / industri) dalam bentuk wang tunai / bank draf / kiriman wang atas nama Akauntan Negara Malaysia-KPKT-T. Bayaran melalui cek peribadi tidak akan diterima.
- Pemfailan juga boleh dibuat dengan menghantar Borang 2 melalui Pos bersertakan dengan fi pemfailan RM100.00 (kediaman) atau RM 200.00 (komersial / industri) dalam bentuk bank draf / kiriman wang atas nama Akauntan Negara Malaysia-KPKT-T. Bayaran melalui cek peribadi tidak akan diterima.
*AMBIL PERHATIAN bahawa TPS tidak menerima wang tunai melalui pos.
-
15: Apakah proses seterusnya apabila Borang 2 difailkan?
- TPS akan memeteraikan Borang 2 dengan meterai TPS dan akan meletakkan tarikh dan menandatangani Borang 2.
-
2 salinan Borang 2 yang telah dimeterai akan dipulangkan kepada Penentang.
- Satu salinan Borang 2 adalah salinan Penentang.
- Satu salinan Borang 2 untuk Penentang serahkan kepada Pihak Yang Menuntut.
-
16: Apakah kaedah penyerahan Borang 2 kepada Pihak Yang Menuntut?
Penentang perlu menyerahkan Borang 2 kepada Pihak Yang Menuntut dalam tempoh 14 hari dari tarikh Borang 2 termeterai dikeluarkan oleh TPS. Penentang perlu menyerahkan Borang 2 kepada Pihak Yang Menuntut melalui kaedah-kaedah berikut:
- Secara serahan tangan. Contoh bukti penyerahan bagi kaedah ini adalah salinan akuan penerimaan / tandatangan / cop penerimaan / gambar penyerahan dan tarikh penyerahan.
- Melalui pos berdaftar yang dialamatkan kepada alamat perniagaan, petak atau kediaman yang akhir diketahui bagi Pihak Yang Menuntut. Contoh bukti penyerahan bagi kaedah ini adalah bukti pengeposan.
- Melekatkan Borang 2 pada bahagian utama di alamat perniagaan, petak atau kediaman yang akhir diketahui bagi Pihak Yang Menuntut. Contoh bukti penyerahan bagi kaedah ini adalah gambar Borang 2 dilekatkan di premis tersebut dan tarikh penyerahan.
-
17: Apakah yang perlu dilakukan oleh Pihak Yang Menuntut apabila menerima Borang 2?
Sekiranya terdapat Tuntutan Balas dalam Borang 2, dalam tempoh 14 hari dari tarikh Pihak Yang Menuntut menerima Borang 2, Pihak Yang Menuntut hendaklah memfailkan Pembelaan Kepada Tuntutan Balas (Borang 3) dalam 4 salinan di TPS. Pemfailan Borang 3 boleh dilakukan melalui 2 kaedah iaitu:
Pemfailan Borang 3
- Pemfailan di Kaunter TPPS, KPKT bersama dengan fi pemfailan sebanyak RM50.00 (kediaman) atau RM 100.00 (komersial / industri) dalam bentuk wang tunai / bank draf / kiriman wang atas nama Akauntan Negara Malaysia-KPKT-T. Bayaran melalui cek peribadi tidak akan diterima.
- Pemfailan juga boleh dibuat dengan menghantar Borang 3 melalui Pos bersertakan dengan fi pemfailan RM50.00 (kediaman) atau RM 100.00 (komersial / industri) dalam bentuk bank draf / kiriman wang atas nama Akauntan Negara Malaysia-KPKT-T. Bayaran melalui cek peribadi tidak akan diterima.
*AMBIL PERHATIAN bahawa TPS tidak menerima wang tunai melalui pos.
-
18: Apakah proses seterusnya apabila Borang 3 difailkan?
- TPS akan memeteraikan Borang 3 dan akan meletakkan tarikh dan menandatangani Borang 3.
-
2 salinan Borang 3 yang telah dimeterai akan dipulangkan kepada Pihak Yang Menuntut.
- Satu salinan Borang 3 adalah salinan PIhak Yang Menuntut.
- Satu salinan Borang 3 untuk Pihak Yang Menuntut serahkan kepada Penentang.
-
19: Apakah kaedah penyerahan Borang 3 kepada Penentang?
Pihak Yang Menuntut perlu menyerahkan Borang 3 kepada Penentang dalam tempoh 14 hari dari tarikh Borang 3 termeterai dikeluarkan oleh TPS. Pihak Yang Menuntut perlu menyerahkan Borang 3 kepada Penentang melalui kaedah-kaedah berikut:
- Secara serahan tangan. Contoh bukti penyerahan bagi kaedah ini adalah salinan akuan penerimaan / tandatangan / cop penerimaan / gambar penyerahan dan tarikh penyerahan.
- Melalui pos berdaftar yang dialamatkan kepada alamat perniagaan, petak atau kediaman yang akhir diketahui bagi Penentang. Contoh bukti penyerahan bagi kaedah ini adalah bukti pengeposan.
- Melekatkan Borang 3 pada bahagian utama di alamat perniagaan, petak atau kediaman yang akhir diketahui bagi Penentang. Contoh bukti penyerahan bagi kaedah ini adalah gambar Borang 3 dilekatkan di premis tersebut dan tarikh penyerahan.
-
20: Bolehkah Borang 2 difailkan di tempat yang berbeza daripada tempat pemfailan Borang 1?
Tidak Boleh.
Contoh: Sekiranya Borang 1 difailkan di Putrajaya, Borang 2 perlu difailkan di Putrajaya juga dan Borang 2 tersebut tidak boleh difailkan di TPS di Zon Utara (Kepala Batas, Pulau Pinang) / Zon Timur (Kuala Terengganu, Terengganu) / Zon Selatan (Johor Bahru, Johor).
-
21: Apakah yang perlu dilakukan oleh Pihak Yang Menuntut dan Penentang pada tarikh pendengaran?
Berikut adalah tatacara yang perlu diikuti oleh pihak-pihak sebelum, semasa dan selepas pendengaran:
-
Sebelum Pendengaran
- Pihak-pihak hendaklah berada di Bilik Pendengaran pada hari yang ditetapkan sebelum atau pada pukul 9.00 pagi atau pada masa yang telah ditetapkan. Pihak – pihak diminta untuk berpakaian kemas dan bersesuaian.
- Pihak-pihak dinasihati menyemak Senarai Pendengaran Kes yang ditampalkan di luar Bilik Pendengaran TPS untuk memastikan nombor tuntutan dan pihak-pihak adalah tepat serta menyemak Bilik Pendengaran bagi kes tersebut.
-
Pihak-pihak yang menghadiri pendengaran di TPS hendaklah menyediakan dokumen-dokumen seperti berikut untuk disemak oleh Presiden:
- kad pengenalan asal bagi warganegara Malaysia atau passport antarabangsa / dokumen yang berkaitan bagi warganegara asing;
- surat wakil kuasa jika mewakili suatu perbadanan, kumpulan orang yang tidak diperbadankan, orang belum dewasa atau mana-mana orang lain yang tidak berupaya;
- bagi pengarah atau pengerusi suatu perbadanan atau kumpulan orang yang tidak diperbadankan, apa-apa dokumen yang dapat membuktikan jawatan yang dipegangnya;
- semasa pendengaran pertama, bukti serahan tangan atau resit pengeposan pos berdaftar bagi penyerahan Borang 1 kepada Pihak Penentang;
- mana-mana dokumen, rekod atau benda yang berkaitan.
- Dokumen seperti kad pengenalan asal / passport antarabangsa dan surat wakil kuasa hendaklah dibawa untuk setiap pendengaran dan setiap kes dan bukan sahaja untuk pendengaran pertama di TPS.
-
Semasa pendengaran
- Pendengaran tuntutan dalam TPS akan dijalankan di hadapan seorang Presiden
- Semua orang yang berada dalam mahkamah TPS hendaklah berdiri dan menunduk hormat apabila Presiden masuk atau keluar daripada mahkamah TPS.
- Semua orang perlu menunduk hormat kepada Presiden semasa masuk atau keluar daripada mahkamah TPS.
- Kedua-dua pihak hendaklah tampil ke hadapan apabila nama dan nombor tuntutan kes dipanggil oleh Jurubahasa.
- Kedua-dua pihak hendaklah berdiri apabila dipanggil oleh Presiden untuk menjelaskan tuntutan atau pembelaan masing-masing serta menjawab soalan-soalan daripada Presiden.
- Kedua-dua pihak berhak untuk mengemukakan keterangan, memanggil mana-mana saksi atau mengemukakan apa-apa dokumen, rekod atau benda bagi menyokong kes masing-masing.
- Pihak–pihak boleh menggunakan Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris semasa pendengaran.
- Mana-mana pihak yang ingin menunjukkan apa-apa dokumen, rekod atau bahan kepada Presiden semasa pendengaran hendaklah memberikan sesalinan dokumen, rekod atau bahan yang sama kepada pihak yang satu lagi.
- Kedua-dua pihak hendaklah berdiri apabila Presiden membacakan keputusan bagi kes tersebut.
- PIHAK-PIHAK TIDAK DIBENARKAN UNTUK MEMBUAT SEBARANG RAKAMAN AUDIO ATAU VIDEO SEMASA SESI PENDENGARAN.
-
Selepas pendengaran
- Sekiranya Presiden membuat keputusan bagi kes tersebut pada hari berkenaan, pihak-pihak hendaklah menunggu untuk mendapatkan salinan award bagi kes tersebut daripada Jurubahasa.
- Pihak-pihak diminta untuk menyemak sama ada butiran seperti nama pihak-pihak, nombor tuntutan, tarikh pendengaran dan keputusan TPS yang dinyatakan dalam award adalah tepat.
-
Sebelum Pendengaran
-
22: Adakah pengambilan gambar atau rakaman video / audio dibenarkan semasa pendengaran?
Tidak boleh.
-
23: Adakah orang lain boleh hadir untuk mewakili Pihak Yang Menuntut / Penentang semasa pendengaran? (Seksyen 110(4) Akta 757)
Tidak boleh kecuali dalam situasi seperti berikut:
-
Bagi perbadanan / kumpulan orang yang tidak diperbadankan
Mereka boleh diwakili oleh pekerja yang bergaji sepenuh masa. -
Bagi orang belum dewasa / orang tidak berupaya
Orang belum dewasa atau mana-mana orang lain yang tidak berupaya boleh diwakili oleh sahabat wakilnya atau penjaga ad litemnya. -
Bagi JMB / MC / Sub-MC
Mana-mana orang yang diberi kuasa oleh JMB / MC / Sub-MC.
Dalam situasi di atas, wakil tersebut hendaklah membawa surat wakil kuasa yang ditandatangani oleh Pihak Yang Menuntut / Penentang (yang mana berkenaan).
-
Bagi perbadanan / kumpulan orang yang tidak diperbadankan
-
24: Sekiranya Pihak Yang Menuntut / Penentang (individu) tidak berupaya untuk membentangkan tuntutan / pembelaannya semasa pendengaran kerana mempunyai masalah komunikasi, adakah orang lain boleh hadir untuk mewakili Pihak Yang Menuntut / Penentang semasa pendengaran?
Pihak Yang Menuntut / Penentang (individu) boleh memohon kebenaran Presiden TPS untuk mendapatkan bantuan seorang wakil bagi menjelaskan tuntutan / pembelaannya, tertakluk kepada budi bicara Presiden TPS. Walau bagaimanapun, Pihak Yang Menuntut / Penentang masih perlu hadir sendiri bersama wakil tersebut.
-
25: Adakah pihak-pihak boleh melantik peguam untuk mewakili mereka semasa pendengaran?
Tidak. Pihak-pihak perlu mengendalikan kes dengan sendiri.
Walau bagaimanapun, sekiranya mereka ingin melantik peguam, pihak-pihak perlu hadir sendiri pada tarikh pendengaran / memfailkan Borang 14 untuk memohon kepada Presiden TPS kebenaran untuk diwakili oleh peguam bela dan peguam cara. Kebenaran untuk diwakili oleh peguam bela dan peguam cara tersebut adalah budi bicara Presiden TPS tertakluk kepada pematuhan 2 syarat berikut:
- Perkara yang dipersoalkan melibatkan isu undang-undang yang kompleks;dan
- satu pihak akan menghadapi kesusahan kewangan yang teruk jika dia tidak diwakili oleh seorang peguam bela dan peguam cara.
-
26: Sekiranya Pihak Yang Menuntut / Penentang tidak dapat hadir pada tarikh pendengaran yang telah ditetapkan oleh TPS, apakah yang boleh dilakukan oleh Pihak Yang Menuntut / Penentang tersebut?
Pihak Yang Menuntut / Penentang perlu hadir pada tarikh pendengaran yang ditetapkan.
Namun, jika Pihak Yang Menuntut / Penentang tidak dapat hadir dalam keadaan kecemasan, permohonan penangguhan hendaklah dibuat di hadapan Presiden TPS pada tarikh pendengaran. Bagi tujuan tersebut, Pihak Yang Menuntut / Penentang boleh menghantar wakil untuk berbuat demikian semasa pendengaran dan kebenaran penangguhan adalah tertakluk kepada budi bicara Presiden. Wakil tersebut boleh mengemukakan dokumen sokongan, sebagai contoh sijil cuti sakit atau tiket penerbangan.
-
27: Apakah keputusan yang boleh dibuat oleh Presiden TPS pada tarikh pendengaran sekiranya salah satu Pihak Yang Menuntut / Penentang atau kedua-dua pihak tidak hadir?
Sekiranya Pihak Yang Menuntut tidak hadir dan Penentang hadir, tuntutan boleh dibatalkan atau award dikeluarkan kepada Penentang sekiranya ada tuntutan balas oleh Penentang.
Sekiranya Penentang tidak hadir, award boleh dikeluarkan terhadap Penentang dan tuntutan balas akan dibatalkan (sekiranya ada).
-
28: Sekiranya salah satu Pihak Yang Menuntut / Penentang tidak hadir pada tarikh pendengaran dan suatu award dikeluarkan oleh TPS terhadap Pihak Yang Menuntut / Penentang tersebut, apakah yang boleh dilakukan oleh Pihak Yang Menuntut / Penentang tersebut?
Pihak Yang Menuntut / Penentang tersebut boleh memohon untuk mengetepikan award tersebut. Permohonan untuk mengetepikan award tersebut boleh dibuat dengan memfailkan Permohonan Untuk Mengenepikan Award (Borang 16) dalam tempoh 30 hari dari tarikh award tersebut diserahkan kepada Pihak Yang Menuntut / Penentang tersebut.
-
29: Apakah keputusan yang boleh dibuat oleh Presiden TPS pada akhir pendengaran tuntutan di mana kedua-dua pihak telah hadir?
- TPS akan mengeluarkan Award Selepas Pendengaran (Borang 11).
- Sekiranya terdapat persetujuan antara kedua-dua pihak, TPS akan mengeluarkan Award Dengan Persetujuan (Borang 6).
-
30: Adakah Pengerusi dan Timbalan Pengerusi TPS terlibat dengan penentuan keputusan oleh Presiden TPS dalam sesuatu tuntutan?
Pengerusi dan Timbalan Pengerusi TPS tidak terlibat sama sekali dengan penentuan keputusan oleh Presiden TPS yang mendengar tuntutan tersebut. Keputusan Presiden TPS dibuat secara bebas berdasarkan penilaian fakta dan undang-undang yang terlibat, tanpa sebarang campur tangan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi TPS.
-
31: Apakah tindakan yang boleh diambil sekiranya mana-mana pihak tidak mematuhi award yang dikeluarkan oleh TPS? (Seksyen 120 Akta 757)
Award (Keputusan) yang dikeluarkan oleh TPS adalah muktamad dan mengikat semua pihak kepada prosiding kes tersebut. Sekiranya terdapat keingkaran award, pihak yang terkilan perlu memberi 4 salinan notis ingkar award dan 6 salinan award kepada TPS.
Setiausaha TPS kemudian akan menghantar suatu salinan award kepada Mahkamah Majistret atau Mahkamah Sesyen yang mempunyai bidang kuasa di tempat yang baginya award itu adalah berkaitan atau di tempat award itu dibuat.
Award tersebut akan direkodkan di Mahkamah Sivil berkenaan dan TPS akan menyerahkan award yang telah direkodkan tersebut kepada pihak yang terkilan setelah menerima kembali award berkenaan.
Tempoh yang diambil untuk merekodkan award adalah bergantung kepada Mahkamah tersebut.
-
32: Apakah tindakan selanjutnya yang boleh diambil selepas menerima award yang telah direkodkan di Mahkamah?
Apabila award telah direkodkan di Mahkamah, award tersebut boleh dikuatkuasakan melalui tindakan jenayah yang akan disiasat oleh Pesuruhjaya Bangunan (COB). Keingkaran untuk mematuhi award merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah seksyen 123 Akta 757 yang jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM 250,000.00 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya. Pihak yang terkilan perlu memaklumkan COB di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkaitan untuk tindakan siasatan dan pendakwaan.
Selain itu, pihak yang terkilan juga boleh mengambil tindakan sivil dengan memfailkan apa-apa prosiding pelaksanaan di Mahkamah Sivil. Pihak yang terkilan boleh melantik peguam sendiri untuk tujuan tersebut.
*Tindakan penguatkuasaan atau pelaksanaan award yang telah direkodkan adalah di luar bidang kuasa TPPS.
-
33: Sekiranya mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan award yang dibuat oleh TPS, apakah tindakan yang boleh diambil oleh pihak tersebut?
Pihak tersebut boleh memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Sivil untuk mencabar award TPS tersebut.
-
34: Adakah pihak-pihak boleh mendapatkan nota keterangan dan alasan keputusan daripada TPS bagi sesuatu tuntutan?
Salinan nota keterangan dan alasan keputusan penuh bertulis akan dibekalkan kepada pihak-pihak setelah permohonan kebenaran semakan kehakiman di bawah Aturan 53 Kaedah 3(1) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi. Pihak-pihak hendaklah mengemukakan sesalinan kertas kausa permohonan semakan kehakiman tersebut (Permohonan Semakan Kehakiman, Pernyataan, Afidavit Sokongan, Perintah Kebenaran Semakan Kehakiman) kepada TPS.
-
35: Adakah award TPS boleh dipinda setelah ia dikeluarkan oleh TPS?
Award TPS adalah muktamad dan tidak boleh dipinda kecuali untuk membaiki atau membetulkan kesilapan sunting atau kesilapan / peninggalan yang tidak disengajakan.
-
36: Adakah pelaksanaan award TPS boleh ditangguhkan atau digantungkan oleh TPS?
TPS tidak mempunyai bidang kuasa untuk menangguhkan atau menggantungkan pelaksanaan awardnya. Sebarang penangguhan atau penggantungan pelaksanaan award TPS hanya boleh diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Sivil dalam permohonan semakan kehakiman.
-
37: Bagaimanakah pihak-pihak boleh membuat pertanyaan kepada TPS setelah tuntutan difailkan?
Untuk urusan pertanyaan setelah tuntutan difailkan, Pihak Yang Menuntut dan / atau Penentang boleh menghantar surat / e-mel / membuat panggilan telefon ke TPS, dan sila nyatakan nombor kes TPS yang telah diberikan bagi tuntutan tersebut.
Surat boleh dihantar ke Setiausaha Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata alamat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aras 3-4, No 51, Persiaran Perdana, Presint 4, 62100 Putrajaya.
Emel boleh dihantar ke tribunal@kpkt.gov.my
Panggilan telefon boleh dibuat ke 03-88913284
Hubungi Kami
Aras 3, No. 51, Presint 4, Persiaran Perdana,
62100 Putrajaya
Bangunan Suruhanjaya Koperasi Malaysia
Tingkat 10, Jalan Changkat Semantan
off Jalan Semantan, Bukit Damansara
50490 Kuala Lumpur
Aras 7, Zon B Wisma Persekutuan, Seberang Perai Utara,
13200 Jalan Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang
Bangunan MARA
No.33, Jalan Pengkalan Weld
10300 Georgetown, Pulau Pinang.
Tingkat 5-6, Bangunan Darul Takaful (Maidam),
Jalan Sultan Ismail,
20200 Kuala Terengganu, Terengganu
Tingkat 20, Menara Ansar, No.65
Jalan Trus,
80000 Johor Bahru, Johor
No.2 & 3, Tingkat 2
Pusat Dagangan Bakri,
Jalan Bakri
84000 Muar, Johor Darul Takzim